Wednesday, April 8, 2015

Perjalanan Singkat ke Terengganu

Bulan lepas demi memuaskan hati yang dah tak boleh jalan-jalan hujung minggu sebab ada kelas hari Sabtu, kami ke Terengganu. Ini perjalanan kali kedua ke Terengganu dalam masa 2 minggu. Bunyi macam dekat je Terengganu-Kuala Lumpur kan? Niat asal cuti hujung minggu tersebut adalah ke Cherating sebenarnya, tapi entah macamana boleh terlajak sampai Kuala Terengganu. 

Kami bertolak dari Kuala Lumpur lebih kurang dalam pukul 9 pagi. Pemanduan dilakukan perlahan-lahan dan dalam keadaan santai. Sempat berhenti di beberapa RnR. Sempat juga beli buah Kundang import yang mahal di RnR Temerloh sekilo RM35. Balik Meru tengok kat NSK RM12 je. Cis! 

Kami tiba di Cherating dalam pukul 1 lebih. Tapi mungkin kerana hari Jumaat, tengahari, keadaan masih belum cukup meriah. Disebabkan perjalanan tidak dirancang, kami keluar masuk chalet dan hotel mencari tempat penginapan, dan kebetulan waktu itu permulaan cuti sekolah. Memang semua penuh la jawabnya. Harga bilik penginapan pun mahal ya ampun secara tiba-tiba. Saya tidak pernah mengunjungi Cherating sebelum ini. Encik Suami yang memang hantu laut telah beberapa kali ke sini dan berasa kecewa kerana menurutnya Cherating dah tak cantik macam dulu. 

Dengan perut yang kelaparan tapi masih berangan nak makan tepi laut, kami teruskan pemanduan dan singgah di Pantai Kemasik. Cantik! Tapi gerai-gerai yang ada tidak kelihatan menyelerakan. 

 Pantai Kemasik, Terengganu


Kami kemudiannya meneruskan lagi pemanduan, yang akhirnya entah macamana terlajak sampai Dungun. Jam sudah menunjukkan pukul 6 lebih, dan kami sudah keluar masuk beberapa chalet dan resort di Dungun, penuh juga. Akhirnya saya cuba nasib bertanyakan bilik di Hotel UiTM Dungun, alhamdulillah, ada kosong lagi. Rate satu malam RM150 nett. Kesian Encik Suami yang konon-kononnya Beach Boy dan sukakan penginapan ala-ala chalet yang lebih santai, terpaksa redha dengan isteri yang skema duduk dalam hotel. 

Pemandangan depan Hotel UiTM yang mengadap laut. Memang cantik. Tapi lautnya sangat bergelora dan menakutkan.

Dalam perjalanan mencari-cari tempat penginapan tersebut, kami terjumpa tempat makan yang menarik - Medan Ikan Bakar Dungun. Pemandangan di sekitarnya juga menarik. Orang sibuk makan, kami sibuk amik gambar di situ.



Lepas Isya' kami ke sini lagi untuk makan. Alhamdulillah harga yang dikenakan berpatutan dan masakannya sedap. Kami makan nasi, sotong goreng tepung, tomyam seafood (yang isinya sangat banyak), juga kangkung belacan, semuanya tidak sampai RM30. Murah kan?

Ini sebahagian dari pemandangan berhadapan dengan laut di Dungun. Boleh lah nak bergambar ala-ala Hindustan.

Esoknya, alang-alang dah sampai Dungun, dan kebetulan abang ipar suami ditahan di wad Hospital Kuala Terengganu, kami teruskan perjalanan ke KT. Dalam perjalanan sempat singgah beli jagung dan kacang rebus yang banyak dijual di tepi jalan. Jagungnya sangat manis dan menyebabkan terliur bila teringat. 


Hospital Kuala Terengganu terletak berhadapan dengan Pantai Batu Buruk. Disebabkan 2 minggu yang lepas kami baru ke sini, maka tidaklah saya melencong menikmati pemandangan pantai. Kalau anda ke KT, boleh juga melawat Taman Tamadun Islam. Harga tiket RM20 untuk dewasa.



Antara monumen yang terdapat di Taman Tamadun Islam (TTI). Banyak lagi monumen lain yang menarik. Saya fikir taman ini sesuai untuk pendidikan anak-anak. Banyak ilmu yang boleh dikutip dari sini.

Alang-alang sampai ke TTI, boleh singgah di Masjid Kristal dan tunaikan solat sunat Tahhiyyatul Masjid. Selain itu, kami juga sempat singgah solat di Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung.



Petang itu, selepas ke hospital, kami bertolak pulang ke Meru (sebab hari Ahad ada kenduri kahwin sepupu). Dalam perjalanan, singgah semula di Cherating, dan tiba-tiba Cherating nampak cantik. Hahahaha...

Kecewa sebab bila bagi phone pada orang untuk ambil gambar, semua kekurangan skill dan gambar yang diambil tak memuaskan hati. Akhirnya kami cari ranting kayu dan batang pokok, adjust setting camera dan dapat gambar yang diingini. Walaupun tak hebat, tapi jadilah, kamera telefon je pun, bukan DSLR.


Lepas bergambar-gambar dan minum air kelapa tepi pantai, juga bertanya-tanya pakej penginapan di beberapa chalet, akhirnya kami pun bertolak pulang. Sampai Meru hampir pukul 1 sebab asyik singgah berehat dan tidur di RnR.

Sekian.
Baru perasan rupanya perjalanan dua hari tersebut penuh dengan persinggahan ke pantai. Memang Beach Boy sungguh lah...


Friday, April 3, 2015

Cara Mengatasi Masalah Jerawat Paling Berkesan

Rasa-rasanya ramai pernah mengalami masalah jerawat. Waktu zaman muda-muda, pada era belum mengenali segala jenis pencuci muka di pasaran dan sangat setia mencuci muka dengan sabun mandi, takde seketul jerawat pun berani singgah di pipiku.

Tapi bila dah terpengaruh dengan produk-produk yang dipakai kawan-kawan (kononnya nak ikut perkembangan semasa), juga terpengaruh dengan kehebatan marketers membuat iklan, saya mula berjinak-jinak dengan produk-produk jagaan muka. Lepas tu, silap pakai, apa lagi. Tumbuhlah jerawat sedikit sebanyak di pipi. Masa awal-awal kemunculan dan sampai sekarang pun, dahi adalah pelabuhan terbaik untuk jerawat di wajahku (by the way, tempat kemunculan jerawat tu sebenarnya memberitahu tahap kesihatan tubuh kita. Tak percaya tengok ni . Salah satu sebab jerawat muncul di dahi dikatakan adalah kerana stress. Wallahua'alam.

Selain dari berpunca dari produk kecantikan, disebabkan nak sangat ada kulit yang elok, saya obses jugak mencuba segala macam petua yang dicatatkan encik google. Antaranya kalau nak kulit cantik, letaklah susu tiap-tiap malam. Entah macamana, tersilap letak susu agaknya, tumbuh jerawat kat pipi pulak (aiyaa). Tak cukup dengan tu, disebabkan terpengaruh dengan iklan facebook kawan sendiri, saya beli dan pakai produk jagaan muka tempatan. Memang kulit cantik mulus masa tu. Jerawat pun takde. Tapi disebabkan ada lagi parut jerawat sikit-sikit, saya gatal pulak cuba petua lain. Encik google punya hal jugak la ni. Dia kata letak soda bikarbonat boleh hilangkan parut. Dia tak kata tak boleh letak lama-lama. Rupanya bila letak lama-lama kulit jadi macam kepanasan, habis menggelupas kawasan tu. Tak lama lepas tu, kena serangan jerawat balik. Berpunca dari sini lah saya jumpa penyelesaiannya.

Entah macamana terjumpa website Klinik Dr Hasseenah. Nak pulihkan kulit punya pasal, sanggup jugaklah gigih cari klinik Dr ni. Mula-mula jumpa lebur duit hampir RM500 ringgit. Tapi tu mungkin salah satunya sebab saya beli jugak multivitamin dari dia. Kalau amik ubat je mungkin tak sebanyak tu. Lepas dia buat analisis kulit, dia pun bagi la segala macam krim untuk disapu. Habis pencuci muka, sunblock semua pun dari klinik dia. Tapi alhamdulillah, dalam masa sebulan lebih, masalah jerawat selesai. Kira berbaloi dengan duit yang dilaburkan. Walaupun nak pakai ubat Dr. tu leceh sikit. Siap kena sapu muka dengan ais bagai. Tak cukup dengan tu, siap kena pantang. Dr. tak bagi langsung makan ayam. Sebab Dr. kata ayam yang kita makan ni tak elok. Makanan yang diberi pada ayam tu tak bagus dan akhirnya beri kesan pada kita. 

Lepas selesai masalah jerawat tu, sampai sekarang saya masih lagi beli pencuci muka dan sunblock dari klinik dia. Lagi pun boleh beli online. Tapi sekarang dah lupa pesanan jangan makan ayam tu. Makan tak ingat balik. Bila lah nak insaf ni.

Sekian.


* entry ini tidak ditaja langsung oleh Dr Hasseenah. Dia pun tak tau saya ni salah seorang pelanggan yang berpuas hati dengan produk dia. ;-)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...